KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Malaysia berada pada landasan tepat untuk memanfaatkan potensi kecerdasan buatan (AI) dalam mengurus bandar secara lebih efisien, termasuk dalam aspek trafik, pengurusan sisa, kesiapsiagaan banjir dan keselamatan awam.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Anuar Fariz Fadzil berkata, dengan sokongan ekosistem teknologi dan polisi kerajaan peranan AI bukan sahaja penting dalam mengumpul data, tetapi ia meliputi dalam menterjemah keputusan yang memberi manfaat nyata kepada komuniti bandar.
"Data merupakan aspek terpenting bagi pembangunan bandar pintar kerana setiap hari berjuta-juta baris data dihasilkan. Justeru, penggunaan AI amat penting untuk tujuan analisis serta meramal pelbagai perkara termasuk keadaan lalu lintas, cuaca dan operasi bandar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi 'Fireside Chat with City Leaders: From Data to Decisions – How Malaysian Cities Are Turning AI into Everyday Impact' sempena Smart City Expo Kuala Lumpur 2025 (SCEKL25) di ibu negara, hari ini.
Menurut Anuar, cabaran utama kini adalah memastikan keupayaan teknologi AI difahami dan digunakan secara menyeluruh, terutama di kawasan luar bandar, selain menjamin aspek keselamatan serta privasi data.
Malaysia terus memperkukuh agenda bandar pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) menerusi kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan sektor swasta.