KUALA LUMPUR, 28 Jun- Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menangguhkan prosiding membela diri dalam kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) sehingga rayuannya untuk mendapatkan salinan percakapan saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diputuskan Mahkamah Rayuan.
Peguam, Hamidi Mohd Noh yang mewakili Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid memberitahu Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa pihaknya memfailkan permohonan itu pada 23 Jun lepas.
“Kami mohon tarikh segera untuk pendengaran permohonan ini,” katanya sebelum prosiding membela diri bekas timbalan perdana menteri itu atas 47 pertuduhan melibatkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.
Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob berkata, pihaknya menerima salinan notis permohonan itu menerusi e-mel pada Sabtu lepas dan akan membantah permohonan tersebut.
“Kami memerlukan masa untuk memfailkan afidavit balasan berhubung permohonan itu,” katanya.
(Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid hadir di Mahkamah Kuala Lumpur untuk prosiding bela diri bagi 47 pertuduhan
pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.)
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 4 Julai untuk pihak pendakwaan memfailkan afidavit balasan dan permohonan itu didengar pada 7 Julai ini.
Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul permohonan itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berkata, beliau dinasihatkan oleh peguamnya bahawa keterangan saksi-saksi yang akan beliau sebutkan (di mahkamah) adalah mustahak dan material untuknya mendapatkan salinan rakaman-rakaman percakapan mereka.
Menurut Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid, ini kerana beliau dapat melihat wujudnya sokongan antara keterangannya dan keterangan mereka.
Saksi-saksi itu termasuk anaknya Datuk Nurulhidayah, adiknya Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi dan seorang ahli perniagaan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berkata tanpa salinan rakaman percakapan saksi-saksi berkenaan, haknya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil akan terjejas dan beliau ingin memberikan keterangan yang penuh serta lengkap semasa pemeriksaan utama di mahkamah sebelum disoal balas.
“Permohonan ini bukan bertujuan untuk melengahkan atau melewatkan perbicaraan kes saya kerana saya telah memberikan keterangan di peringkat keterangan utama di mahkamah, permohonan ini adalah bersifat bona fide (niat baik) untuk memastikan saya mendapat perbicaraan yang adil dalam penyediaan pembelaan di mahkamah.
Adalah wajar dan adil bagi saya untuk mendapat penangguhan perbicaraan sementara menunggu keputusan atau pelupusan daripada Mahkamah Rayuan bagi mendapatkan salinan rakaman percakapan saksi-saksi itu sebelum saya diarahkan untuk disoal balas,” katanya dalam afidavit itu.
Pada 9 Mei lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid untuk mendapatkan rakaman percakapan saksi daripada SPRM kerana saksi boleh terdedah kepada intimidasi dan sebagai contoh, diugut agar memberikan keterangan yang berbeza daripada yang terdapat dalam rakaman kenyataan.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid diperintah membela diri atas 47 pertuduhan itu pada 24 Januari selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.