fb fb fb fb fb

Ahmad Zahid jumpa 40 ADUN BN di kediaman rasmi MB Johor

JOHOR BAHRU, 6 Oktober- Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadiri satu perjumpaan tertutup bersama 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Johor di sini, semalam.

Perjumpaan tersebut diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, di Saujana, Jalan Hassan Al-Attas, di sini.

Kenderaan yang membawa Presiden UMNO itu tiba di kediaman rasmi Menteri Besar itu pada pukul 8.16 malam.

Selain Onn Hafiz, pertemuan itu turut dihadiri Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Turut kelihatan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Johor.

Difahamkan kesemua pemimpin utama UMNO Johor serta 40 ADUN BN itu sudah berada di Saujana sejak pukul 8.00 malam dengan agenda utama persiapan jentera pilihan raya negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi / FOTO BERNAMA

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lepas, BN berjaya memperolehi mandat besar dengan memenangi 40 kerusi daripada 56 kerusi.

Pada PRU14 lepas, daripada 26 kerusi Parlimen di Johor, PH memenangi 18 kerusi manakala BN lapan kerusi.

Media Baharu