fb fb fb fb fb

Ahli UMNO diingatkan tidak sabotaj calon yang dipilih bertanding PRU15 - Ismail Sabri

(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan
UMNO Bahagian Bera 2022/ Foto BERNAMA)  

BERA, 16 Oktober - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan semua anggota parti agar tidak melakukan sabotaj ke atas calon yang dipilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Sebaliknya anggota parti perlu meletakkan kepentingan demi kemenangan parti.

Sikap ahli yang sama-sama berkempen bersama calon yang bertanding dengan bertujuan menjatuhkannya pada PRU sebelum ini, perlu dibuang kerana ia hanya merugikan parti.

Kekalahan calon tersebut memberi peluang kepada pembangkang untuk menguasai sesuatu kawasan menyebabkan rakyat menderita.


(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan para perwakilan parti pada Majlis
Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera 2022/ Foto BERNAMA) 

"Saya ucap terima kasih kepada ramai yang bekerja kuat untuk kemenangan parti, untuk diri sendiri berangan sikit-sikit ok lah, tapi jangan kerana kita nak bertanding dan tak dapat bertanding kita nak sabotaj kawan yang bertanding, itu yang tak boleh bergerak, ke hulu ke hilir untuk pastikan calon kita kalah," kata beliau pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera 2022, di sini hari ini.

Tambah Ismail Sabri, ahli UMNO perlu bersatu padu bagi memastikan kemenangan calon dan meletakkan kepentingan perjuangan UMNO demi membentuk kerajaan yang stabil bagi memulihkan ekonomi negara, selain kesejahteraan rakyat.

Media Baharu