fb fb fb fb fb

Agong zahir penghargaan kepada PM, Jemaah Menteri, bekas PM, menteri

Foto Istana Negara

PUTRAJAYA, 24 Januari- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, barisan Jemaah Menteri, bekas perdana menteri dan bekas menteri yang telah berkhidmat sepanjang tempoh lima tahun Baginda memegang tampuk pemerintahan, sejak 31 Januari 2019.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata perkara tersebut disampaikan Baginda kepada Perdana Menteri semalam, semasa sesi menghadap untuk Mesyuarat Pra-Kabinet kali ke-160 dan yang terakhir, di Istana Negara. Ia sebelum Seri Paduka menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Januari ini. 

"Dalam warkah tersebut, Tuanku juga telah menitahkan nasihat peringatan secebis ayat yang pernah dinukil Imam Ghazali. Potongan ayat itu ... 'sebenarnya kerosakan rakyat disebabkan oleh kerosakan para pemimpinnya dan kerosakan pemimpin adalah disebabkan oleh kerosakan ulama dan kerosakan ulama disebabkan kecintaan kepada harta dan kedudukan'.

"Itulah peringatan yang telah dititah dan disampaikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku kepada Jemaah Menteri sebagai peringatan agar kami sentiasa berkihdmat demi negara dan tidak memikirkan tentang kedudukan atau harta benda peribadi", katanya dalam sidang media di Kementerian Komunikasi di sini.

Dalam pada itu, kerajaan menyambut baik keputusan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi yang menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata sokongan itu membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan berada pada landasan yang tepat dan stabil.

"Kita terima baik keputusan ini dan membuktikan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang diberi kepercayaan oleh pelbagai pihak. Yang penting adalah kita perlu buktikan kepada rakyat bahawa kerajaan ini mampu menyelesaikan masalah dan inilah yang menjadi fokus kerajaan", katanya.

Sementara itu, beliau juga akan menyerahkan maklumat berkenaan gangguan liputan perkhidmatan yang dialami pengguna yang melanggan perkhidmatan dengan syarikat telekomunikasi (telco) CelcomDigi Bhd.

Fahmi berkata ia bagi membolehkan CelcomDigi menyelesaikan isu teknikal berkenaan supaya ia tidak berlarutan dan menyukarkan pengguna rangkaian perkhidmatan telekomunikasi itu.

"Insya-Allah, saya akan segera menghantar maklumat kepada pihak CelcomDigi untuk mereka selesaikan. Kita semua sedia maklum pihak CelcomDigi setelah MCMC meluluskan penggabungan dua entiti ini, akan mengambil masa lebih kurang antara 18 dan 24 bulan. Kalau dikirakan daripada waktu mereka umumkan penggabungan itu, maka lebih kurang ada lagi 12 bulan lebih", katanya dalam sidang media di Kementerian Komunikasi di sini.

Tambahnya, sejak CelcomDigi digabungkan secara rasmi pada pada akhir 2022, syarikat telekomunikasi itu telah selesai menjalankan 30 peratus proses integrasi pada tahun lepas, manakala 40 peratus pada tahun ini dan baki 30 peratus menjelang 2025.

ROSLINA BINTI DIN