KUALA LUMPUR, 23 Julai - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menasihatkan rakyat supaya sentiasa berwaspada susulan cuaca panas dan kering yang sedang melanda negara ketika ini, yang boleh meningkatkan risiko kebakaran dan jerebu.
Seri Paduka Baginda bertitah bahawa keadaan tersebut juga boleh menjejaskan kesihatan, terutamanya golongan kanak-kanak, warga emas serta individu yang mengalami masalah pernafasan.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa menjaga kesihatan dan memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari semasa ke semasa. Cuaca panas dan kering berisiko menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat,” titah Seri Paduka Baginda menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.
Sultan Ibrahim turut menitahkan pihak berkuasa agar meningkatkan rondaan bagi membanteras sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menjejaskan kualiti udara negara.