fb fb fb fb fb

Lebih 700 NADI luar bandar bakal jadi hab e-kesihatan

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil (tengah) dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kanan) mengadakan sidang media bersama di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Langkuas, Kinarut/ Foto BERNAMA

PAPAR, 23 Julai - Lebih 700 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di kawasan luar bandar seluruh negara akan dijadikan sebagai hab e-kesihatan, bagi memperluas akses kepada perkhidmatan telekesihatan melalui rangkaian internet berkelajuan tinggi.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi dan Kementerian Kesihatan, bertujuan memperkasa sistem penjagaan kesihatan luar bandar.

"Dengan kemudahan internet yang laju dan teknologi e-kesihatan ini, kita berharap hubungan antara NADI dan klinik kesihatan dapat diperkukuh, sekali gus memudahkan saringan kesihatan asas tanpa perlu hadir ke klinik," katanya ketika menghadiri Sesi Taklimat Telekesihatan dan Dron untuk Penjagaan Kesihatan Masa Depan di sini.

Selain kemudahan teleperundingan dan saringan kesihatan asas, teknologi dron juga sedang diuji untuk penghantaran ubat-ubatan di kawasan terpencil, termasuk beberapa lokasi perintis seperti Tawau.

Pelaksanaannya akan diperluas selepas mendapat kelulusan teknikal daripada agensi berkaitan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan projek telekesihatan ini sebagai transformasi penting dalam sistem kesihatan negara yang memberi penekanan kepada penjagaan kesihatan yang lebih dekat dengan komuniti

"Inisiatif ini membawa penciptaan nilai dan menyumbang kepada pencapaian hasil kesihatan yang lebih baik.

"Ia sejajar dengan aspirasi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI