fb fb fb fb fb

Agong titah rakyat, agensi berkaitan sedia hadapi banjir

KUALA LUMPUR, 9 Oktober- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan seluruh rakyat untuk memperkemaskan diri dan melakukan persediaan bagi menghadapi fenomena perubahan cuaca yang bakal berlaku.

Titah Al-Sultan Abdullah agar semua agensi-agensi yang berkaitan membuat persediaan yang rapi secara menyeluruh demi kemaslahatan Ummah.


(Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah 
 pada majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1444 Hijrah di sini)

"Persediaan tersebut bukan hanya dalam aspek mengurangkan kesan banjir, tetapi merangka satu kaedah bagi bantuan kepada mangsa banjir dapat diberikan secara terancang, segera dan efektif. Mengambil tema sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini iaitu:“Keluarga Malaysia, pemangkin kemakmuran” marilah kita menyatukan ikatan hati dan menumpukan usaha ke arah memelihara kemaslahatan ummah," titah Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka bertitah ini selaras dengan ajaran Islam yang dibawa Rasulullah SAW yang menuntut umatnya untuk sentiasa melakukan persediaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan.

"Setiap tahun pada bulan November, negara akan berhadapan dengan risiko banjir, malah baru-baru ini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Malaysia akan berhadapan dengan hujan lebat serta risiko banjir besar.

“Beta ingin mengingatkan seluruh rakyat beta untuk memperkemaskan diri dan melakukan persediaan bagi menghadapi fenomena perubahan cuaca yang bakal berlaku kelak," titah Seri Paduka pada majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1444 Hijrah/ 2023 Masihi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.


Media Baharu