fb fb fb fb fb

Agong titah buat satu kajian ganti jambatan bailey

PAHANG, 8 Mac- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan satu kajian perlu dibuat bagi menggantikan jambatan bailey di jalan utama Felda Selancar dan Perwira Jaya di Rompin.

Titah baginda, kajian pembinaan seperti jalan baharu perlu dirancang bagi melancarkan semua jenis kenderaan untuk melalui jalan tersebut.

 
(Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama
Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah)

Titah baginda, jambatan bailey yang telah siap itu hanya boleh dilalui kenderaan ringan, dan menyukarkan pergerakan kenderaan yang melebihi muatan 40 tan untuk melalui jalan tersebut.

"Dalam pada itu saya juga hendak mengucapkan terima kasih kepada pihak JKR dan pihak ATM yang mana telah dapat melaksanakan pembinaan jambatan bailey bridge di Selancar dan saya harap semua pihak dapat mengguna jambatan ini dengan sebaik yang mungkin, mudah-mudahan ia juga dapat memberi sedikit sebanyak keselesaan buat sementara ini, dalam pada itu saya juga berharap satu kajian juga perlu dibuat supaya setelah keadaan sudah mengizinkan jalan yang dilalui disitu perlu dibuat semula dibina semula supaya jalan ini dapat diteruskan seperti jalan biasa, kerana bailey bridge ini akan sekat perjalanan atau kelancaran perjalanan kereta dan lori," titah baginda.

Baginda dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat membantu penduduk terjejas banjir, termasuk agensi penyelamat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Baginda bertitah demikian ketika berkenan melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Leban Chondong, Rompin.

Baginda dalam itu turut berharap pihak terlibat yang menguruskan PPS supaya menyediakan makanan yang bersih serta mencukupi kepada penduduk terjejas, sekali gus memastikan PPS berada dalam keadaan baik.

Pada kunjungan itu, Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada penduduk terjejas banjir.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Media Baharu