fb fb fb fb fb

Agong terima Sambutan Negara sempena lawatan ke Turkiye

ANKARA, 16 Ogos- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Kompleks Presiden, di sini untuk Sambutan Negara sempena lawatan baginda ke Turkiye.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada pukul 5.30 petang waktu tempatan disambut Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Baginda menerima tabik hormat daripada Pasukan Pengamanan Presiden diiringi lagu Negaraku dan lagu kebangsaan Turkiye, ‘Istiklal Marsi’ serta 21 das tembakan meriam.

Yang di-Pertuan Agong diiringi Presiden Erdogan kemudiannya berkenan memeriksa perbarisan pasukan kawalan kehormatan serta diperkenalkan kepada barisan kabinet pemerintah Turkiye.

Turut hadir Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Pegawai Pengiring, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin; Ketua Protokol Kementerian Luar Negeri, Aini Mohd Atan dan Duta Malaysia di Turkiye, Sazali Mustafa Kamal.

Al-Sultan Abdullah kemudiannya berkenan melakukan pertemuan empat mata dengan Presiden Erdogan di Istana Presiden.

(Al-Sultan Abdullah berkenan melakukan pertemuan empat mata bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan
semasa berangkat pada Sambutan Negara di Istana Presiden)

Ia merupakan pertemuan pertama selepas Al-Sultan Abdullah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai 2019.

Baginda bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam rangka Lawatan Negara ke Turkiye selama tujuh hari sehingga Ahad ini.

Seri Paduka Baginda sebelum ini berkenan menyampaikan persetujuan untuk berangkat melakukan Lawatan Negara ke Turkiye ketika menerima panggilan telefon secara peribadi daripada Presiden Erdogan pada Mei lalu.

Dalam perbualan telefon itu, Baginda turut merakamkan ucapan tahniah kepada Presiden Erdogan atas pembukaan Masjid Besar Hagia Sophia.

Media Baharu