Agong, Raja Permaisuri zahir takziah pemergian Tun Dr Ling Liong Sik

FOTO FACEBOOK SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR

KUALA LUMPUR, 4 April -Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik, yang meninggal dunia hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mendiang berusia 83 tahun, Presiden Kehormat Seumur Hidup MCA, tokoh veteran politik yang lama berkhidmat dalam Kabinet negara.
  • Berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Mata Kuching tiga penggal (1974 hingga 1982) dan Parlimen Labis empat penggal (1986 hingga 1999).
  • Menyandang pelbagai portfolio termasuk Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri Penerangan, Kewangan, Pendidikan dan Menteri Pengangkutan selama 14 tahun hingga meletak jawatan 2003.

Ucapan takziah tersebut dikongsikan menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Mendiang yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 83 tahun, merupakan Presiden Kehormat Seumur Hidup Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan antara tokoh veteran politik yang paling lama berkhidmat dalam Kabinet negara.

Sepanjang hayatnya, Liong Sik melakar sejarah perkhidmatan yang panjang dalam arena politik tanah air termasuk berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Mata Kuching selama tiga penggal bermula 1974 hingga 1982, sebelum berpindah ke kerusi Parlimen Labis selama empat penggal dari 1986 hingga 1999.

Selain itu, mendiang turut menyandang pelbagai portfolio penting dalam pentadbiran kerajaan persekutuan, antaranya sebagai Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri Penerangan, Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri Pendidikan.

Jawatan terakhir mendiang dalam kerajaan adalah sebagai Menteri Pengangkutan selama 14 tahun bermula 1986, sebelum beliau meletak jawatan pada 2003.