fb fb fb fb fb

Agong, Raja Permaisuri beri sokongan kepada anakanda di GT World Challenge Asia

FOTO FACEBOOK Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 12 April- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan memberikan sokongan moral kepada anakanda baginda, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar pada perlumbaan pembukaan GT World Challenge Asia di Litar Antarabangsa Petronas Sepang, hari ini.

Menerusi hantaran Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Raja Zarith Sofiah berangkat menyaksikan perlumbaan tersebut dengan diiringi oleh Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj; Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah serta suami, Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Turut berangkat Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Dalam saingan itu, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar berlumba bagi pasukan Johor Motorsports Racing (JMR).

Sultan Ibrahim yang menonton perlumbaan dari Johor Bahru bertitah menzahirkan rasa gembira dengan permulaan pasukan JMR menggunakan jentera baharu, Corvette.

"Saya gembira dengan permulaan baik yang ditunjukkan menggunakan jentera baharu Corvette ini. Buat Tunku Putera, cuba lagi di perlumbaan seterusnya, saya yakin prestasi akan meningkat, semoga lebih bernasib baik," titah Seri Paduka Baginda.

Musim 2025 bermula cemerlang buat JMR apabila Tunku Abdul Rahman bersama rakan sepasukan dari Britain, Alexander Sims, berjaya meraih tempat ketiga dalam kategori Pro-Am – sekaligus mencatatkan podium pertama mereka bagi musim ini.

Namun, nasib tidak menyebelahi Tunku Abu Bakar dan rakan pelumba, Jordan Love, apabila jentera mereka terbabit dalam kemalangan, menyebabkan kerosakan dan menamatkan perlumbaan di kedudukan belakang.

Sementara itu, Raja Permaisuri Agong turut menzahirkan penghargaan kepada para peminat yang hadir memberi sokongan khususnya dari Johor Bahru.

"Saya berasa amat terharu dengan kesungguhan sokongan mereka. Semoga mereka akan selamat balik ke Johor Bahru, Insya-Allah," titah baginda.

SITI AISHAH MD ISA