fb fb fb fb fb

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke Majlis Santapan Malam sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 30 Jun- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah malam tadi, berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam sempena Memuliakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-259 di Istana Negara, di sini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka pada pukul 8.45 malam diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut berangkat Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Berangkat sama, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim serta kerabat Diraja.

Majlis turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah serta Sarawak.

Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri kecuali Sarawak diiringi Timbalan Premier. 

Turut Hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dan menteri-menteri Kabinet.

(Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah
Maimunah Iskandariah pada Majlis Santapan Malam sempena Memuliakan Mesyuarat Majlis Raja Raja Ke-259 di Istana Negara)

Terdahulu, Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung selama dua hari bermula semalam dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dengan dihadiri semua Raja-Raja Melayu kecuali Kelantan, Pahang dan Johor.

Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra, Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Johor diwakili Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim.

Mesyuarat turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Media Baharu