KUALA LUMPUR, 24 Julai- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang telah kembali ke rahmatullah, pada Ahad.
Menerusi catatan di Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.
"Seri Paduka Baginda berdua menghargai jasa, khidmat dan bakti Allahyarham kepada negara serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada masyarakat dan negara," menurut catatan itu.
(Seri Paduka Baginda berdua menghargai jasa, khidmat dan bakti Allahyarham kepada negara
serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada masyarakat dan negara)
Salahuddin, 61, menghembuskan nafas terakhir 9.23 malam tadi di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Star.
Ahli Parlimen Pulai dan ADUN Simpang Jeram itu ditidurkan, selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.
Menurut catatan Istana Negara, Allahyarham Salahuddin yang lahir pada 1 Disember 1961 pernah dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari 2018 hingga 2020.
Allahyarham yang merupakan Ahli Parlimen Pulai dari tahun 2018 telah dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Allahyarham juga pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) cawangan Pontian dari tahun 1981 hingga 1983.