fb fb fb fb fb

Agong, Permaisuri berkenan rasmi Laman Tuanku

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dibawa melawat galeri yang memaparkan gambar dan replika pembangunan keseluruhan Laman Tuanku

KUALA LUMPUR, 28 Januari - Laman Tuanku yang menempatkan 13 laman mewakili setiap negeri dalam Malaysia selamat dirasmikan.

Perasmiannya disempurnakan Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Terletak berhadapan dengan Pintu 3 Istana Negara, Laman Tuanku merupakan sebuah taman awam yang pembinaannya mengambil inspirasi daripada sikap kasih sayang Seri Paduka berdua yang kerap menyantuni rakyat jelata.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif KH Land Sdn Bhd, Datuk Seri Jeff Yap sebelum diiringi untuk bergambar kenang-kenangan bersama tetamu kehormat dan pengurusan tertinggi syarikat di galeri di laman itu.

Seri Paduka berdua kemudian dibawa melawat galeri yang memaparkan gambar dan replika pembangunan keseluruhan Laman Tuanku sebelum menandatangani plak perasmian.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudian merasmikan majlis dengan melepaskan burung merpati sebagai gimik pelancaran Laman Tuanku.

Laman berkeluasan empat ekar itu juga menempatkan Laman Permaisuri serta dipenuhi tanaman rempah dan herba yang sering digunakan dalam masakan oleh Tunku Azizah dijangka akan menjadi tarikan pengunjung selepas ia dibuka kepada orang ramai pada Mac depan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN