KUALA LUMPUR, 26 September- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Santapan Malam Festival Tanglung Perpaduan Cina 2023 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.
Seri Paduka Baginda berdua juga berkenan menyempurnakan gimik pembukaan majlis dengan acara memotong kuih bulan dan simbolik nyalaan tanglung.
Majlis tersebut dianjurkan bersempena Perayaan Musim Luruh atau lebih sinonim dengan nama Perayaan Kuih Bulan, iaitu salah satu perayaan penting bagi masyarakat Tionghua, selain Perayaan Tahun Baharu Cina.
Peluang keemasan untuk bersalaman dan beramah mesra dengan Seri Paduka Baginda Tuanku berdua paling dinantikan oleh seluruh ahli persatuan terlibat.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim, pemimpin veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.
Kira kira 300 tetamu hadir memeriahkan acara tersebut. Acara ini juga melambangkan perpaduan, kepelbagaian serta keindahan budaya rakyat Malaysia.