fb fb fb fb fb

Amaran

PenggunaJ: :_load: Tidak dapat memuatkan pengguna dengan ID: 381

15 pegawai kerajaan dilantik sebagai Ikon Nilai

(Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali (tengah) bersama penerima surat pelantikan Value Champion Officer (VCO)/FOTO BERNAMA)

SHAH ALAM, 26 September - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah melantik 15 pegawai yang ditauliahkan sebagai Ikon Nilai melalui inisiatif baharu Value Champion Officer (VCO) yang berkuat kuasa serta merta.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata pelantikan ke semua pegawai tersebut bagi melestarikan pembudayaan nilai murni dalam perkhidmatan awam melalui teladan terbaik di organisasi.

Menurut Zuki Ali, pelantikan mereka terdiri daripada pelbagai kementerian, jabatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Manakala pelaksanaan penuh VCO kepada semua kementerian , jabatan, PSUK, Badan berkanun dan PBT akan bermula pada tahun hadapan.

Katanya, pelaksanaan pelantikan VCO telah diluluskan sebagaimana diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR) Peringkat Kebangsaan pada 29 Mac tahun ini.

"Inisiatif rintis ini akan digerakkan melalui mekanisme pemantauan berdasarkan pelaporan tahunan dan pencapaian skor Indeks Komposit Nilai setiap agensi.

"Libat urus melalui jelajah dan seminar akan diadakan secara berterusan bagi mempromosi nilai dan peranan VCO bagi menyokong pencapaian agenda MADANI.

"Pelaksanaan inisiatif ini adalah selaras dengan Kerangka Strategik Malaysia MADANI dalam mengungguli standard prestasi, kualiti dan kelakuan beretika tertinggi dalam kalangan penjawat awam," katanya pada majlis perasmian Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam Ke-27 2023 dan pelancaran inisiatif Value Champion Officer (VCO) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam di sini pada Selasa.

Katanya, pegawai yang ditauliahkan sebagai Ikon Nilai telah memenuhi syarat-syarat pelantikan seperti yang ditetapkan.

Antaranya menunjukkan prestasi cemerlang dengan markah purata 85% bagi tiga tahun terkini, berkhidmat lebih daripada 10 tahun, melepasi tapisan tatatertib dan keutuhan, mempamerkan teladan baik secara konsisten dan seimbang serta mempunyai kualiti keperibadian yang baik.

Pada persidangan hari ini, seramai 500 peserta yang terdiri daripada Pegawai Psikologi, Pengurus Sumber Manusia dan Pegawai Integriti dari pelbagai Kementerian, Jabatan, Agensi, Pegawai Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) serta ahli akademik dan pensyarah dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Persidangan kali ini membawa tema PRISMA iaitu Profesional, Integriti, Sahsiah dan Amanah.

Tema PRISMA diangkat dan dijadikan teladan kerana individu yang sihat psikologinya, memiliki asas modal psikologi yang kukuh berupaya membudaya nilai-nilai terbaik di organisasi dan ini adalah ciri modal insan yang perlu ada pada setiap penjawat awam.

Pada majlis itu, Mohd Zuki turut menyerahkan surat pelantikan VCO kepada semua pegawai yang dipilih bagi inisiatif rintis VCO.