fb fb fb fb fb

Agong dengar sendiri taklimat MetMalaysia mengenai ramalan cuaca negara

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat tiba di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) dekat Ampang, pagi ini.

Ketibaan baginda disambut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

(FOTO BERNAMA)

Dalam lawatan tersebut baginda mendengar sembah taklimat secara terus daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai perkembangan terkini ramalan cuaca negara yang ketika ini sedang berada dalam peralihan monsun.

Taklimat disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang, bersama Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah dan Ketua Pengarah JPS, Datuk Dr Md Nasir Md Noh.

Al-Sultan Abdullah turut menerima sembah taklimat berhubung perkembangan semasa COVID-19 dan kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan (KKM) menghadapi banjir yang disampaikan oleh Khairy.

Majlis taklimat pagi ini berlangsung selama dua jam secara tertutup.

Difahamkan, sesi taklimat ini adalah atas permintaan Yang di-Pertuan Agong sendiri yang mahu melihat persediaan dan kesiapsiagaan semua agensi kerajaan bagi menghadapi Monsun Timut Laut tahun ini di seluruh negara.

Media Baharu