fb fb fb fb fb

Agensi agama harus telus dan bebas rasuah, jadi contoh kepada jabatan lain

Foto Fail

BANGI, 20 Julai- Pengoperasian di agensi-agensi agama harus telus dan bebas dari rasuah supaya dapat menjadi contoh yang baik kepada jabatan-jabatan lain.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata sifat amanah, integriti, telus beserta komitmen tinggi dalam pekerjaan itu wajib diamalkan.

Malah katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan selaku pentadbir Islam negara serta agensi-agensi agama di bawahnya perlu dilihat bersih demi menjaga nama baik organisasi dan institusi Islam.

"Kita perlu berhemah dan berhati-hati dalam menguruskan wang rakyat. Kita perlu membentuk nilai-nilai positif dalam diri, kuat, amanah, cekap dan berintegriti selain sentiasa jujur dan telus dalam melakukan pekerjaan.

Di samping itu, kita perlu pamerkan budaya kerja Islam dan sentiasa bersungguh-sungguh dalam pekerjaan. Kita tidak mahu agensi agama dilabel sebagai tidak efektif. Kita perlu menangkis persepsi dan tomahan bahawa agensi agama terus terpalit dengan isu-isu ketirisan, rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan," kata Datuk Hakimah melalui ucapannya pada Program Perolehan Bebas Rasuah: JAKIM dan Agensi Agama anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan JAKIM di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Kanan ILIM, Aminudin Mohamad dengan kehadiran lebih 130 orang peserta dari agensi-agensi agama seluruh negara.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor dan Pengarah Audit Kewangan Bahagian III, Jabatan Audit Negara, Dr. Nor Haiza Abd. Aziz.

Program tersebut merupakan objektif strategik di bawah Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 untuk menambah baik keberkesanan pendidikan dan pembangunan berterusan modal insan.


(Lebih 130 orang peserta dari agensi-agensi agama seluruh negara hadir menyertai Program Perolehan Bebas Rasuah: JAKIM dan Agensi Agama
anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan JAKIM di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), di Bangi)

 

Media Baharu