fb fb fb fb fb

Adun Jepak tinjau pelaksanaan projek RTP 2024

Tinjauan Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak, Iskandar Turkee ke beberapa kawasan dalam DUN Jepak bagi menilai pelaksanaan Projek RTP 2024/Foto RTM

KUALA TATAU, 10 September - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee meneruskan siri tinjauan beliau ke beberapa kawasan dalam DUN Jepak bagi menilai pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk tahun 2024.

Dalam sesi pertama, tinjauan di Kuala Tatau, Kampung Seberang Jaya, dan Kampung Nour Iman, beliau telah mengenal pasti keperluan nelayan di kawasan tersebut, khususnya keperluan usaha menaik taraf jeti untuk memudahkan urusan hasil tangkapan mereka. Oleh itu, kedua-dua kampung tersebut telah dikenal pasti bagi pelaksanaan projek berkaitan.

Selain itu, beliau turut menziarahi 5 buah rumah penduduk yang memerlukan bantuan baik pulih rumah, terutama bagi golongan uzur. Salah seorang penduduk yang uzur turut dikenal pasti memerlukan katil khas, kerusi roda, dan laluan untuk kerusi roda.

“Masih banyak rumah di kawasan luar bandar yang perlu diberi perhatian, terutama sekali kerana kedudukannya yang jauh daripada bandar Bintulu,” ujar beliau.

Pada sesi kedua tinjauan di Kampung Baru Tengah pula, Iskandar mendapati ada keperluan mendesak untuk penyelenggaraan sistem perparitan di kawasan tersebut. Beliau menjelaskan bahawa masalah perparitan yang tidak terurus telah menjadi punca berlakunya banjir kilat, dan projek ini akan dimasukkan dalam RTP tahun 2025.

Setakat ini, sebanyak 24 daripada 40 projek RTP yang dirancang untuk DUN Jepak bagi tahun ini telah berjaya dilaksanakan. Beliau turut menambah bahawa peruntukan RTP dan MRP perlu dimanfaatkan bagi menyegerakan projek-projek yang mendesak demi kemudahan rakyat.

Trainee