fb fb fb fb fb

Raja Petra meninggal dunia di UK

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 10 September -Penulis blog terkenal, Raja Petra Kamarudin meninggal dunia pada 11.26 malam hari Isnin di Manchester, United Kingdom (UK).

Dilaporkan, allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 74 tahun. Berita kematian itu dimaklumkan oleh adiknya, Raja Idris melalui status di media sosial.

“Dengan penuh dukacita saya ingin memaklumkan bahawa abang kesayangan saya Raja Petra Kamarudin meninggal dunia pada 11.26 malam waktu UK pada Isnin 9 Sept 2024 di Manchester, UK.

Dilahirkan pada 27 September 1950, allahyarham lebih dikenali dengan singkatan nama RPK. Allahyarham dikenali dengan pelbagai ulasan dan artikel berkaitan politik Malaysia.

Sementara itu, pengikutnya di media sosial turut mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham dan turut berkongsi kenangan bersama allahyarham.

“Innalillahi wa-inna ilaihi roji'un, Ini adalah ulasan terakhir Raja Petra Kamarudin. Beliau meninggal dunia di UK pada 9 Sept 2024. Ketika ini jelas kedengaran suaranya seperti agak uzur tidak seperti kebiasaan. Rehat la RPK. I will be missing you and your dare opinions and comments. Tak akan ada yang sama seperti anda!,” tulis Solo Arya di media sosial.

Kandungan video dimaksudkan adalah berkaitan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang memberi amaran akan menarik balik Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan daripada penerima yang terlibat jenayah atau mencemarkan nama negara atau dikenakan tindakan mahkamah.

“Al Fatihah, Innalillah buat Uncle, Raja Petra Kamarudin. Ayat uncle yang masih saya ingat dan segar "Melontar pandangan atau pendapat tiada salah atau betul, ia hanya mencetus pemikiran untuk perkara atau mengambil tindakan sama ada ianya salah atau betul", tulis Gulam Muszaffar.

“Arwah sangat dekat dengan negeri Terengganu walaupun berasal dari Selangor dan merupakan salah seorang kerabat istana Selangor. Ketika di Terengganu sekitar 1980-an, arwah pernah menjadi pengerusi Masjid Kg Kolam, Kuala Ibai dan banyak jasa serta baktinya kepada masyarakat setempat.

“Semoga Allah merahmati roh beliau serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” kata Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi di Facebook.

Difahamkan Raja Petra menetap di luar negara sejak beberapa tahun lalu dan aktif menulis serta menyuarakan pandangan mengenai politik Malaysia melalui pelbagai platform media sosial.

MAT YUNUS BIN SABRI