981 pemimpin pelajar sumbang idea perkasa hala tuju pendidikan tinggi

FOTO BERNAMA

SHAH ALAM, 23 Februari – Seramai 981 wakil kepimpinan pelajar dari seluruh negara berhimpun menerusi Program Makmal dan Dialog Kemenjadian Mahasiswa Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 bagi memperkasa peranan mahasiswa sebagai rakan strategik pembangunan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahasiswa diberi ruang mengemukakan pandangan untuk menambah baik Pelan Pendidikan Tinggi 2026–2035.
  • Fokus kepada kemahiran graduan selari industri, penyelesaian kos sara hidup dan pembelajaran pintar berteraskan teknologi.
  • Perkukuh sokongan psikologi, bakat kepimpinan mahasiswa dan daya saing graduan di peringkat antarabangsa.

Program julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dengan sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) secara kolaboratif bersama Yayasan Perkasa Siswa dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, program itu melibatkan barisan kepimpinan pelajar daripada universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS), politeknik serta kolej komuniti seluruh negara.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara mahasiswa dan pihak berkepentingan dalam merangka hala tuju pendidikan tinggi negara bagi tempoh 2026 hingga 2035.

“Antara perkara yang saya tekankan ialah memberi ruang kepada mahasiswa untuk mengemukakan pandangan serta cadangan bagi menambah baik pelan dan rancangan Pendidikan Tinggi Negara 2026–2035.

“Seperti yang telah dibentangkan, mereka mewujudkan kluster mengikut 10 lonjakan yang telah ditetapkan, selain mengemukakan beberapa cadangan bernas dalam kerangka tersebut.

“Sebahagian besar daripada cadangan yang dikemukakan akan dipertimbangkan dan dimasukkan dalam pelaksanaan pelan pendidikan negara,” katanya selepas program berkenaan di sini, hari ini.

Antara fokus utama yang digariskan termasuk memastikan kemahiran graduan sentiasa selari dengan keperluan industri, merangka penyelesaian mampan bagi menangani isu kos sara hidup pelajar serta memperkukuh ekosistem pembelajaran pintar berteraskan teknologi.

Penekanan turut diberikan terhadap penyediaan sokongan psikologi yang komprehensif, pengukuhan bakat kepimpinan mahasiswa serta peningkatan daya saing graduan di peringkat antarabangsa.