fb fb fb fb fb

95 peratus projek seliaan JKR dalam keadaan baik

Datuk Seri Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 3 Oktober- 95 peratus daripada 785 projek seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) berada dalam keadaan baik sekali gus mencerminkan pencapaian bagi Kementerian Kerja Raya.

Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga Pengerusi Projek Sakit JKR Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, hanya 24 daripada jumlah itu dikategorikan sebagai 'projek sakit'.

"Faktor kelewatan projek yang diberikan adalah berpunca daripada kontraktor. Minta maaf saya terpaksa menyebut 80 peratus kelewatan projek berpunca daripada kontraktor. 16 peratus pula disumbang pelbagai masalah lain, dan empat peratus lagi masalah kami.

"Antara masalah yang dikenal pasti ialah kelemahan pengurusan dalaman, kekurangan pekerja mahir, penjadualan yang lemah, aliran kewangan, masalah pelbagai pihak utiliti, isu tanah, rizab dan teknikal," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau dua tapak projek pembinaan iaitu di Istana Budaya dan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) di ibu negara.

Lawatan berkenaan dilakukan untuk memantau kemajuan dan memastikan kedua-dua projek berkenaan berjalan lancar mengikuta jadual ditetapkan.

Dalam pada itu Kementerian Kerja Raya juga menjalankan pemantauan proaktif dan menggunakan kaedah perundingan serta surat amaran untuk memastikan projek disiapkan mengikut jadual.

Projek Istana Budaya dijangka siap pada Oktober 2025, manakala Projek Pembinaan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), yang pertama seumpamanya di Malaysia dan Asia Tenggara, dijangka siap pada Oktober 2026.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI