KUALA LUMPUR, 6 Jun- Seramai 94 anak-anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima bantuan pendidikan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Universiti Luar Negara (ULN), hari ini.
Bagi kategori IPTA seramai 84 pelajar menerima insentif berjumlah RM1,000 manakala 10 pelajar kategori ULN menerima insentif berjumlah RM2,000 setiap seorang.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kejayaan pendidikan anak-anak anggota ATM juga merupakan salah satu bentuk pelaburan jangka panjang ke atas benteng pertahanan negara.
"Insentif dan bantuan seperti ini sebenarnya adalah satu bentuk penghargaan dan ucapan terima kasih secara tidak langsung oleh kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan atas pengorbanan dan jasa anggota ATM," katanya dalam ucapan pada Majlis Penyampaian Bantuan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Bantuan Universiti Luar Negara (ULN) Tahun 2024 di ibu negara.
Sementara itu, penerima bantuan Muhammad Hazim Anuar berharap agar inisiatif yang membantu meringankan beban keluarga itu dapat diteruskan pada masa akan datang.
"Saya rasa bantuan yang diberikan ini dapat membantu saya dalam pelajaran. Ia boleh digunakan untuk bayar yuran, semua itu lebih memudahkan saya.
"Bantuan ini perlu diteruskan supaya generasi akan datang lebih berminat untuk belajar dan mengembangkan bakat yang dimiliki," katanya.
Bagi Aisyahtulnur Thuraya Armanshah, dia berpendapat bantuan yang diberikan itu boleh digunakan untuk membeli peralatan ke universiti.
"Saya rasa gembira dan bersyukur sebab bukan semua orang boleh dapat bantuan ini. Jadi apabila saya terpilih, ia akan digunakan untuk kegunaan masa hadapan sama ada untuk membeli buku atau mengasah bakat baru," katanya.