fb fb fb fb fb

86 pemborong dan 162 peruncit terpilih daerah diberi kelulusan simpan barang kawalan sepanjang MTL

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali

KUALA TERENGGANU, 24 November - Sebanyak 86 pemborong terpilih daerah (DDW) dan 162 peruncit terpilih daerah (DDR) di seluruh Terengganu diberi kelulusan untuk menyimpan barang kawalan sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.

Kelulusan itu diberi untuk menyimpan barangan melebihi 30% daripada had simpanan lesen.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tindakan tersebut dibuat supaya tidak timbul isu kekurangan bekalan sepanjang tempoh banjir.

"Di Terengganu kita sudah lantik DDW dan peruncit terpilih yang kita beri kebenaran untuk simpan stok simpanan 30% yang terkandung dalam Lesen Barang-Barang Kawalan Berjadual (CSA), untuk menyalurkan keperluan pihak-pihak tertentu mendapatkan bekalan," kata Armizan, di sini.

Terdahulu beliau melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Atas Tol.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas berkata, semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah disaran mengemas kini senarai penduduk terjejas banjir dengan segera bagi memudahkan saluran Bantuan Wang Ihsan.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga akan menyalurkan peruntukan tambahan sekiranya diperlukan.

Dalam perkembangan lain beliau menegaskan tiada kompromi terhadap kes jenayah atau seksual yang berlaku di PPS.

Pemantauan di PPS akan dipergiat bagi melindungi penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di pusat itu.

TETITIA YUSOFF