fb fb fb fb fb

82 individu dijangkiti AGE di Tawau

Gambar hiasan

KOTA KINABALU, 22 Jun - Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan seramai 82 penduduk di daerah Tawau dijangkiti Gastroenteritis Akut (AGE) sejak 18 Jun lalu.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr Shameer Khan Sulaiman berkata, kesemua pesakit menerima rawatan pesakit luar dan punca peningkatan kes masih dalam siasatan.

Beliau berkata, antara punca kemungkinan adalah disebabkan kebocoran paip air.

"Punca kejadian yang kita suspek mungkin boleh disebabkan kebocoran paip di Kawasan jalan bunga raya yang berlaku pada 15 Jun, jadi kita berbincang dengan pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan memang berlaku paip pecah di kawasan berkenaan dan kerosakan telah diambil tindakan.

"Namun punca sebenar kita masih menyiasat lagi mungkin kalau bukan di sini kita akan ambil dari hasil sampel dan hasil siasatan kita," katanya ketika ditemui RTM.

Setakat ini, Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau telah membuat pemeriksaan dan pengambilan sampel air terawat daripada Jabatan Air, sampel air dari rumah ke rumah, premis-premis makanan dan kilang ais.

Kesemua sampel klinikal berkenaan telah dihantar ke makmal di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihati segera melaporkan kepada Jabatan Air sekiranya terdapat kebocoran paip di kawasan masing-masing.

Selain itu, penyelenggaraan alat penapis air secara berjadual juga perlu, minum air yang dimasak, mencuci tangan serta menjaga kebersihan diri serta mencuci bahan masakan dengan bersih sebelum dimasak.

GRACE AISYAH KEDAYAN