LIMBANG, 22 Jun - Seorang anggota tentera Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan yang berpengkalan di Kem Kidurong, Bintulu, hilang ketika sedang bertugas dalam Op Ukur Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Sarawak di sempadan Limbang dan Brunei, Selasa lalu.
Anggota yang hilang dikenali sebagai Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim sedang melaksanakan tugasan sebagai pengiring penandaan dan pengukuran sempadan Malaysia-Brunei Darussalam di kawasan pengukuran Ulu Tutong (E500) ke Bebuloh (E600) Limbang mulai 11 Jun hingga 2 September 2024 yang dilaksanakan di bawah kawalan Markas 31 Briged Sempadan.
"Ketiadaan anggota dikesan pada Selasa lalu lebih kurang pukul 12 tengah hari ketika ketua kumpulan mendapati anggota tiada di posisi belakang kumpulan.
“Kejadian berlaku pada kedudukan di jarak dua kilometer di atas permatang sempadan Malaysia-Brunei dari tanda sempadan E500 menghala ke arah E600,” menurut Sel Perhubungan Raya Markas TDM menerusi kenyataan.
Usaha mencari dan mengesan mangsa dijalankan segera oleh kumpulan tersebut yang terdiri daripada dua anggota TDM dan lima anggota JUPEM, namun gagal menemui anggota.
Usaha pencarian telah dipergiat TDM mulai Rabu di kawasan tersebut dengan melibatkan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Agensi Awam lain yang dikoordinasikan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Dalam pada itu, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) juga telah mengatur gerak aset mereka dalam membantu usaha pencarian bersama TDM.