KUALA LUMPUR, 9 Mac- Kira-kira 800 ekar tanah Kerajaan Persekutuan telah dikenal pasti untuk dimanfaatkan bagi tujuan pelaksanaan Inisiatif Usahawan Tani (INTAN).
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan memberikan bantuan berbentuk penyediaan tapak, infrastruktur dan latihan pertanian bagi tempoh dua tahun.
Jelasnya, INTAN yang merupakan komponen pertama Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bertujuan untuk meningkatkan pendapatan miskin tegar dan B40 serta mengurangkan kebergantungan kepada pengimportan bahan mentah.
Di peringkat permulaan, tumpuan diberikan kepada tanaman strategik seperti cili dan jagung, Kementerian Ekonomi turut mensasarkan setiap pekerja untuk menerima gaji asas berjumlah RM2,000 sebulan.
kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dipertanggungjawab untuk menguruskan hal ehwal pentadbiran seperti penggajian, pemantauan dan penyelenggaraan fasiliti yang berkaitan.
Kerajaan juga akan memberi subsidi tambahan bagi menampung sela gaji yang kurang sehingga setiap peserta mencapai pendapatan dua ribu ringgit sebulan.
"Dalam kerangka ini unjuran pendapatan yang boleh diperoleh daripada hasil penjualan cili, contohnya seorang penerima melalui kaedah fertigasi ini mencecah RM2,000 sebulan bagi setengah ekar dalam tempoh setiap bulan dua tahun itu," beliau menjawab pertanyaan wakil Segamat, Yuneswaran Ramaraj.
Pada 26 februari 2023, Kementerian Ekonomi telah melancarkan IPR yang merangkumi tiga inisiatif iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).
Inisiatif itu melibatkan kerjasama antara Kerajaan, rakyat dan rakan-rakan strategik dalam usaha menangani kemiskinan dan ketidaksamaan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) serta prinsip Ihsan dalam Kerangka Dasar MADANI.
Setakat ini, kementerian menerima 24,000 permohonan daripada kumpulan miskin tegar.
(Rafizi Ramli)