KUCHING, 13 April- Sebanyak lapan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) sedang dilaksanakan di Sarawak dengan jumlah keseluruhan bernilai RM1.56 bilion, menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Daripada jumlah itu, empat projek telah siap sepenuhnya termasuk RTB Sibu Fasa 3, RTB Stakan di Kuching, kerja-kerja menaik taraf infrastruktur mekanikal dan elektrikal untuk kawalan banjir serta projek kawalan hakisan pantai di Kampung Hilir Oya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Jiwa Komuniti MADANI dan Media di Kuching hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menjelaskan, kementeriannya bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah merangka pelan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang dalam usaha menangani isu banjir serta memperkukuh sistem infrastruktur saliran dan tebatan banjir di negeri itu.
“Sehingga tahun 2025, menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sebanyak 19 projek diluluskan dengan peruntukan RM2.17 bilion. Ia melibatkan pelbagai skop termasuk tebatan banjir, pencegahan hakisan pantai, pengorekan kuala sungai, pemulihan dan rawatan sungai serta menaik taraf sistem saliran bandar,” katanya.
Daripada jumlah itu, sembilan projek kini berada di peringkat pra-pelaksanaan, manakala enam lagi sedang dalam fasa pelaksanaan.
Bagi langkah jangka pendek, kerja-kerja kecil turut dilaksanakan di bawah Projek Pemuliharaan Sungai dengan peruntukan RM37.8 juta bagi tempoh 2022 hingga 2024. Ia melibatkan 360 sebutharga yang merangkumi kerja-kerja pengaliran sungai, penstabilan tebing, serta menaik taraf saluran dan struktur berkaitan.
Bagi tahun 2024, peruntukan tambahan berjumlah RM13.1 juta sedang dimuktamadkan.
“Secara keseluruhan, Sarawak menerima lebih RM4 bilion bagi pelaksanaan pelbagai projek berkaitan tebatan banjir menjelang 2025. Kalau kita ambil kira semua projek termasuk yang dimiliki agensi lain, jumlahnya agak besar,” kata Fadillah.
Sementara itu, mengulas mengenai projek di Sungai Golok, beliau memaklumkan bahawa kerajaan sedang merangka pendekatan baharu yang menyatukan fungsi pagar kawalan sempadan dengan sistem tebatan banjir.
“Kita fikir pagar yang dibina bukan sekadar untuk kawalan sempadan, tetapi juga boleh berfungsi sebagai tebatan banjir. Cadangan ini akan dibawa ke Kabinet untuk dijadikan program bersama demi keselamatan rakyat dan negara,” jelasnya.