KUCHING, 13 April- Tiada keperluan untuk membawa isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ke mahkamah sekiranya ia dapat diselesaikan melalui rundingan di peringkat kepimpinan tertinggi negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pendekatan harmoni melalui perbincangan kekal menjadi pilihan utama dalam menyelesaikan isu-isu antara kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri Borneo.
“Kalau sampai ke tahap dibawa ke mahkamah, itu bukan bermaksud kita bertikai, tetapi sekadar memohon pentafsiran undang-undang dan perlembagaan. Contohnya seperti isu antara PETROS dan PETRONAS yang melibatkan kuasa kawalan serta pengurusan gas di Sarawak,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian dalam Bual Bicara Eksekutif bersama golongan belia sempena Program Jiwa Komuniti MADANI dan Media di Kuching, hari ini.
Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 memaklumkan bahawa daripada 29 tuntutan di bawah MA63, sebanyak 13 perkara telah berjaya diselesaikan setakat ini — sembilan daripadanya semasa pentadbiran Kerajaan Perpaduan Madani, manakala empat lagi ketika kerajaan terdahulu.
Namun begitu, masih terdapat lapan perkara yang menunggu keputusan di peringkat tertinggi negara, termasuk lima isu yang disifatkan sebagai kritikal.
Antaranya ialah isu bilangan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak, tuntutan 40 peratus hasil kutipan cukai untuk Sabah, royalti minyak, serta formula agihan peruntukan pembangunan seperti yang termaktub dalam Perkara 122D Perlembagaan Persekutuan.
Fadillah menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak kekal komited dalam memperjuangkan hak dan kepentingan negeri mengikut lunas perlembagaan dan undang-undang sedia ada.