fb fb fb fb fb

8 individu ditahan kes skim kutu 'Sapiza Saving Extra' - Polis

KUALA LUMPUR, 12 FebruariLapan individu ditahan termasuk dalang utama sindiket skim simpanan yang dikenali sebagai Sapiza Saving Extra (SSE), melalui serbuan dan tangkapan di sekitar Kuala Lumpur, Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan yang dilaksanakan pada 27 januari 2023 oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataannya hari ini kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dan enam wanita berusia dalam lingkungan umur 31 hingga 37 tahun.

"Sebanyak 116 laporan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan kerugian berjumlah RM4,438,300.00 melalui skim simpanan penipuan ini. Skim ini telah mula aktif sejak tahun 2015 dengan menawarkan simpanan berasaskan 'permainan kutu'.


(Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin / Foto Bernama)

"Bermula tahun 2021, skim ini mula menawarkan beberapa pelan simpanan baharu iaitu pelan serendah RM250 sehingga RM20,000 merangkumi tempoh simpanan antara 2 hingga 5 bulan.

"Sebagai tambahan, skim baharu yang ditawarkan turut menjanjikan keuntungan sebanyak 15% hingga 40% daripada jumlah wang yang disimpan.

"Bagaimanapun, sejak bulan Oktober 2022, pengendali skim simpanan ini didapati telah mulai gagal untuk melunaskan pembayaran keuntungan kepada peserta," katanya dalam kenyataan.

Turut dirampas sebuah kenderaan mewah, kad-kad ATM, telefon bimbit pelbagai jenama dan pelbagai dokumen yang dipercayai digunakan dalam aktiviti tersebut, dan kes disiasat dibawah seksyen 420 kanun keseksaan dan akta pencegahan pengubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasaan 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Dalam usaha untuk membanteras kegiatan penipuan seperti ini, PDRM mengingatkan orang ramai agar sentiasa waspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan atau simpanan yang menjanjikan keuntungan yang terlalu lumayan.

Media Baharu