KUALA LUMPUR, 16 Mac- 8,000 unit Residensi Madani di sekitar Kuala Lumpur bakal dibina bermula Jun tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata residensi berkenaan yang ditawarkan harga mampu milik sekitar RM200,000 itu bakal memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
"Konsepnya sama, cuma di Putrajaya ada Residensi Wilayah. Residensi Wilayah ini bernilai RM300,000 ke bawah.
"Residensi Madani pula berharga sekitar RM200,000 ke bawah," kata Zaliha kepada pemberita selepas Program Teh Hijau Kuala Lumpur edisi Mac 2024 di Kuala Lumpur.
Pada majlis itu juga, 37 periuk bubur lambuk dan 37 kawah dodol turut dimasak untuk diedarkan kepada orang ramai yang hadir pada program tersebut.