fb fb fb fb fb

7,651 penduduk terjejas banjir di Kelantan dan Terengganu akan terima BWI dalam kadar segera

PASIR MAS, 3 Mac- Seramai 7,651 penduduk terjejas banjir di Kelantan dan Terengganu yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akibat bencana banjir akan menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) dalam kadar segera.


Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan sebanyak RM1,000 bagi setiap isi rumah itu akan diagih kepada penduduk terjejas mengikut senarai berdaftar di PPS sebelum mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita di Pasir Mas, Kelantan selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gelang Mas.

Sejurus tiba di PPS berkenaan yang menempatkan 808 penduduk terjejas daripada 277 keluarga dari kawasan sekitar, Perdana Menteri meluangkan masa selama sejam untuk mendengar taklimat mengenai perkembangan banjir semasa di Kelantan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Beliau yang diiringi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob kemudiaannya beramah mesra bersama penduduk terjejas banjir di PPS berkenaan dan menyampaikan sumbangan kepada 40 ketua isi rumah terlibat.

(Perdana Menteri mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gelang Mas)

Dalam pada itu menurut Datuk Seri Ismail Sabri lagi, selain bantuan wang ihsan, kerajaan turut menyalurkan pelbagai lagi bentuk bantuan kepada penduduk terjejas banjir bagi meringankan beban mereka.

Antaranya, bayaran tunai RM2,500 untuk pembelian tunai barang keperluan asas yang rosak akibat banjir, baucar atau rebat RM500 bagi kerosakan barangan elektrik, RM1,000 bagi pembaikian kenderaan rosak dan diskaun 50% bagi pembelian alat ganti yang disediakan syarikat Perodua serta percuma bagi menunda kenderaan yang rosak ditenggelami banjir.

Baucar RM1,000 itu juga boleh digunakan untuk membayar deposit kenderan baru seperti motosikal yang rosak akibat bencana tersebut.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan, kerajaan turut bersimpati terhadap nasib penduduk yang berdepan dengan kerosakan rumah dan rumah yang hanyut akibat banjir.

Bagi kerosakan infrastruktur seperti jalan, balai raya dan sebagainya, laporkan segera kepada pejabat daerah ataupun pemimpin untuk diambil tindakan segera oleh kementerian terlibat seperti KPLB.

Mengulas mengenai projek jangka panjang dalam menangani masalah banjir di jajahan Rantau Panjang Pasir Mas dan Tumpat, kerajaan sedang meneliti peruntukan RM1.3 bilion bagi meneruskan projek pembinaan tebatak banjir bagi fasa kedua yang dikemukakan KASA dan JPS.

Banjir gelombang keempat yang melanda negeri-negeri pantai timur sejak Jumaat lalu telah menjejaskan lebih 26,697 penduduk di Terengganu dan Kelantan.

Media Baharu