fb fb fb fb fb

Everton gantung perjanjian tajaan dengan jutawan Rusia.

(Gambar Hiasan)

LONDON, 3 Mac- Kelab Liga Perdana Inggeris Everton berkata pada Rabu bahawa mereka telah "menggantung dengan serta-merta" perjanjian penajaan dengan beberapa syarikat membabitkan jutawan Rusia Alisher Usmanov yang dikatakan mempunyai kepentingan dengan Rusia.

Tindakan itu diambil ekoran pencerobohan Moscow terhadap Ukraine.

”Kami mengesahkan bahawa telah menangguhkan semua urusan penajaan komersial dengan syarikat Rusia USM, Megafon dan Yota berkuat kuasa serta-merta," kata kenyataan Everton.

(Usmanov, telah pun dibekukan asetnya oleh Kesatuan Eropah sebagai sebahagian daripada sekatan yang dikenakan sebagai tindak balas kepada pencerobohan Rusia ke atas Ukraine) 

USM Holdings, syarikat milik Usmanov yang berkelahiran Uzbekistan menaja tempat latihan Everton, dengan perjanjian awal lima tahun diumumkan pada 2017.

Ia juga mempunyai pilihan untuk menamakan hak untuk stadium baharu The Toffees dengan perjanjian bernilai £30 juta (AS$40 juta) kepada kelab Merseyside itu.

Usmanov yang berusia 68 tahun, sekutu Presiden Rusia Vladimir Putin, telah pun dibekukan asetnya oleh Kesatuan Eropah sebagai sebahagian daripada sekatan yang dikenakan sebagai tindak balas kepada pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Everton menambah mereka "terkejut dan sedih dengan peristiwa ngeri yang berlaku di Ukraine," serta menggesa "keadaan tragis" itu berakhir secepat mungkin.

The Toffees mempunyai pemain Ukraine iaitu Vitalli Myolenko, dan menyatakan mereka akan memberikan sokongan penuh kepada pemain itu dan keluarganya.

Kemas kini dalam Jurnal Rasmi Kesatuan Eropah menyebut Usmanov, rakan kongsi perniagaan lama pemilik Everton Farhad Moshiri, adalah antara 26 individu yang disasarkan dengan sekatan pada hari Isnin.

Usmanov kemudiannya menentang hukuman EU itu sambil mengumumkan pada Selasa bahawa dia akan berehat buat sementara waktu, daripada jawatannya sebagai presiden Persekutuan Lawan Pedang Antarabangsa (FIE).

"Saya percaya keputusan sedemikian adalah tidak adil, dan alasan yang digunakan untuk membuat sekatan adalah dakwaan palsu dan fitnah yang merosakkan kehormatan, maruah dan reputasi perniagaan saya," tulisnya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web FIE.

“Saya akan menggunakan semua cara undang-undang untuk melindungi kehormatan  dan reputasi saya.

"Saya dengan ini menangguhkan tugas saya sebagai presiden Persekutuan Lawan Pedang Antarabangsa berkuat kuasa serta-merta sehingga keadilan dipulihkan."

EU menyifatkan Usmanov sebagai seseorang yang mempunyai hubungan rapat dengan Putin, menambah: "Dia telah dirujuk sebagai salah seorang oligarki kegemaran Vladimir Putin.

"Beliau dianggap sebagai salah seorang pegawai perniagaan Rusia, yang diamanahkan untuk mengurus aliran kewangan, tetapi kedudukan mereka bergantung pada kehendak Presiden." - AFP

Media Baharu