6,510 Graduan TVET dan Kolej Profesional MARA dirai di Konvokesyen IPMA 2026

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang/RTM

KUALA LUMPUR, 20 Mei Seramai 6,510 graduan TVET MARA dan Kolej Profesional MARA diraikan dalam Majlis Konvokesyen Perdana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) 2026 yang berlangsung di ibu negara hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kadar kebolehpasaran graduan TVET dan Kolej Profesional MARA mencapai 97.22 peratus, satu pencapaian membanggakan.
  • Lebih 238,270 alumni TVET dan Kolej Profesional MARA kini berkhidmat sebagai tenaga mahir di pelbagai sektor negara.
  • Graduan diingatkan bersedia menghadapi pasaran kerja yang bergerak pantas berikutan teknologi, automasi dan penggunaan kecerdasan buatan.
  • Majlis turut menyampaikan pelbagai anugerah termasuk Graduan Cemerlang, Keusahawanan Cemerlang, Anugerah Khas Industri dan Graduan Terbaik.

Majlis berkenaan disempurnakan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan melibatkan tujuh sidang konvokesyen.

Konvokesyen itu menjadi penghargaan kepada graduan yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang akademik, teknikal dan vokasional.

Menurut beliau, kadar kebolehpasaran graduan TVET dan Kolej Profesional MARA mencapai 97.22 peratus sekali gus menjadi pencapaian yang membanggakan bukan sahaja kepada MARA, malah rakyat Malaysia secara keseluruhan.

“Pencapaian itu turut diperkukuhkan dengan lebih 238,270 alumni TVET MARA dan Kolej Profesional MARA yang kini berkhidmat sebagai tenaga mahir dalam pelbagai bidang di seluruh negara,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan graduan agar bersedia menghadapi dunia pekerjaan yang kini bergerak pantas selari dengan perkembangan teknologi, automasi dan kecerdasan buatan (AI).

“Graduan hari ini bukan lagi dinilai berdasarkan kelayakan akademik semata-mata, sebaliknya perlu memiliki kemahiran sebenar, disiplin, integriti dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan industri semasa,”katanya.

Majlis itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Graduan Cemerlang, Anugerah Graduan Keusahawanan Cemerlang, Anugerah Khas Industri dan Badan Profesional serta Anugerah Graduan Terbaik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.