fb fb fb fb fb

602 PTI ditahan di Shah Alam atas pelbagai kesalahan

1,091 diperiksa dalam Operasi Secara Bersepadu di Seksyen 25, Taman Sri Muda, Shah Alam

SHAH ALAM, 5 Oktober- Seramai 602 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen daripada 1,091 yang diperiksa dalam Operasi Secara Bersepadu di Seksyen 25, Taman Sri Muda di sini.

Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, operasi khas itu dilaksanakan sebagai usaha mengekang lambakan warga asing di Selangor.

"Kita akan lihat keberkesanan operasi ini, sekiranya operasi memberikan kesan yang baik sudah pasti kita akan melaksanakan dari semasa ke semasa.

"...dalam tempoh dua bulan terakhir kita telah meningatkan pemantauan di kawasan ini dengan melihat sendiri trend pergerakan dan juga kehadiran warga asing ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi Secara bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor di Seksyen 25, Taman Sri Muda di sini.

Operasi khas itu bermula pukul 12.30 tengah hari tadi selama dua jam melibatkan 445 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi antaranya, Jabatan Imigresen Selangor, Majlis Keselamatan Negara, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Kesemua yang ditahan berumur antara 19 tahun hingga 53 tahun terdiri daripada 505 lelaki dan 97 perempuan akan ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih untuk siasatan serta tindakan susulan.

Daripada angka itu 214 individu merupakan warga Bangladesh, Nepal (115), Myanmar (86), Indonesia (81), India (60), Pakistan (34), Sri Lanka (10), Algeria (1) dan Filipina (1).

Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, langgar syarat pas, tinggal lebih masa, pemegang kad tidak diiktiraf dan kesalahan-kesalahan lain yang melanggar Akta Imigresen 1959.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI