fb fb fb fb fb

600 liter petrol dirampas

(Pondok yang menjadi tempat pemprosesan minyak petrol)

PADANG BESAR, 31 Ogos- Sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar berjaya merampas 600 liter petrol bernilai RM2,390 yang cuba diseludup ke Thailand kira-kira 11.30 pagi Selasa.

Kejayaan berkenaan hasil serbuan ke atas sebuah pondok kecil di Kampung Kolam, telah diubah suai dan dijadikan sebagai lokasi simpanan bahan api secara haram.

Menurut Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah, "serbuan dilakukan selepas menerima maklumat orang awam berkenaan kegiatan berkenaan."

Seorang lelaki berusia 35 tahun yang dipercayai pekerja yang menetap di pondok itu turut ditahan pihak polis.


(Pihak polis memeriksa tong simpanan minyak petrol ketika serbuan)

Hasil pemeriksaan lanjut oleh pihak polis menemukan tiga tong berisi petrol yang disorokkan di bahagian bawah pondok.

Pemeriksaan itu, turut menemukan satu pam menyedut minyak dan dua hos getah yang digunakan untuk menyedut petrol dalam tong berkenaan.

Satu siasatan telah dijalankan sebulan yang lalu dan ketika dalam serbuan, pondok itu telah dikunci.

Suspek diminta untuk membuka pondok yang telah beroperasi itu setelah diarahkan oleh pasukan polis.

Hasil tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Perlis untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Media Baharu