fb fb fb fb fb

10,000 pengunjung banjiri Dataran Sejarah, Ayer Keroh

(Foto FB Melaka Hari Ini)

AYER KEROH, 31 Ogos- Walaupun sambutan Hari Kebangsaan di Melaka disambut secara sederhana tanpa sebarang perarakan, namun kemeriahannya tetap terasa dengan kehadiran masyarakat berbilang kaum di negeri itu.

Kira-kira 10,000 Keluarga Malaysia membanjiri Dataran Sejarah, Ayer Keroh sejak jam 7.30 pagi tadi.

Pelbagai aktiviti diatur pada program sambutan yang dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Antaranya, pemeriksaan kawalan kehormatan utama oleh Tun Mohd Ali, deklamasi sajak, persembahan padang serta nyanyian lagu patriotik.

Turut diadakan upacara menaikkan Jalur Gemilang diiringi lagu Negaraku, diikuti bacaan ikrar Rukun Negara serta laungan merdeka sebanyak tujuh kali oleh ketua pembaca ikrar bersama orang ramai yang hadir.


(Persembahan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Melaka
Di Dataran Sejarah Ayer Keroh/ FB Melaka Hari Ini)

Exco Perpaduan dan Penerangan Negeri, Ngwe Hee Sem berkata, kemeriahan berkenaan menunjukkan semangat perpaduan antara kaum di negara ini yang masih utuh.

"Kita gembira dengan kehadiran ramai anak jati Melaka pada pagi ini. Nampak semua bersemangat dan satu semangat patriotisme dari pelbagai kaum, semua bersama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan peringkat Melaka," katanya.

Sementara itu, rata-rata Keluarga Malaysia yang ditemui teruja dengan sambutan berkenaan selepas dua tahun ia tidak dapat dianjurkan kerana pandemik COVID-19.

Media Baharu