fb fb fb fb fb

5G: Rakyat berhak nikmati akses dan peluang sama rata kemampanan teknologi

KUALA LUMPUR, 27 September - Setiap rakyat di negara ini termasuk di bandar dan luar bandar berhak menikmati tranformasi rangkaian 5G.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mahu setiap masyarakat mendapat akses dan peluang yang sama termasuk kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, ini selaras dengan usaha kerajaan mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang bukan sahaja fokus soal transformasi digital tapi akhirnya masih ada kesenjangan digital antara mereka di bandar dan pedalaman.

Anwar berkata tanpa keprihatinan dan ihsan sudah pasti falsafah Madani tidak mencapai definisi kemampanan yang disifatkan untuk menghargai rakyat.

Justeru, beliau berharap SDG perlu dilaksana secara holistik dan tidak dimanfaatkan oleh segelintir kumpulan elit bandar atau pemerintah sahaja.

"Jadi setiap rakyat di negara ini (perlu) diberi peluang itu, ini adalah keseluruhan rangkaian 5G, menjadikannya sangat jelas bahawa tiada masalah teknologi.

“Sebaliknya, memastikan setiap warganegara, dari pinggir bandar atau miskin bandar ke kawasan terpencil di Sabah atau Sarawak, mesti diberi peluang dan akses dan ketersambungan.

“Jika tidak, pada pandangan saya ia tidak mampan,” katanya.

anwar

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Penutupan Sidang Kemuncak Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Malaysia anjuran Huawei Technologies (M) Sdn Bhd, di sini hari ini.

Penganjuran program selama dua hari itu bertujuan menggalakkan pembangunan inovasi dan prasarana ICT dalam kalangan masyarakat.

Ia juga mendorong lebih banyak peluang pertumbuhan ekonomi digital mampan serta peningkatan perindustrian negara.

Pada majlis itu, turut hadir sama Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri KKD Teo Nie Ching.

Dalam pada itu, menerusi hantaran Facebook Fahmi Fadzil beliau berkata, KKD telah memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu untuk mengurangkan kesenjangan digital.

"Antaranya melalui inisiatif menyediakan perkhidmatan internet di kawasan pedalaman, mengusahakan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di setiap DUN, serta menawarkan harga mampu milik data dan peranti 5G melalui inisiatif Pakej 5G RAHMAH.

"Insya-Allah usaha mengurangkan kesenjangan digital ini akan diteruskan supaya tidak ada yang tertinggal dalam misi transformasi digital Malaysia," katanya.

Media Baharu