fb fb fb fb fb

53,000 individu bawah 30 tanggung hutang terkumpul RM1.9 bilion

Datuk Seri Amir Hamzah (tengah) ketika merasmikan Bulan Celik Kewangan 2024

KUALA LUMPUR, 1 Oktober- Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melaporkan 53,000 individu bawah 30 tahun dibebani hutang terkumpul berjumlah RM1.9 bilion.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, AKPK juga mendapati 28 peratus daripada golongan dewasa yang bekerja telah meminjam wang untuk membeli barangan keperluan.

"Peningkatan kebolehcapaian pinjaman peribadi, kad kredit terutamanya skim ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ amat membimbangkan terutamanya dalam kalangan golongan dewasa muda.

"Meskipun ia memudahkan, kekurangan pemahaman tentang implikasi dan kekurangan disiplin dalam mengurus komitmen boleh menjurus kepada hutang yang tidak boleh diurus, "katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis perasmian Bulan Celik Kewangan 2024, di ibu negara.

Menurut kajian celik kewangan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), hanya 36 peratus rakyat Malaysia memahami konsep asas kewangan seperti kadar faedah, inflasi dan kepelbagaian risiko.

Angka berkenaan jatuh di bawah purata global sebanyak 42 peratus, meletakkan Malaysia di tempat ke-26 daripada 39 negara yang dikaji.

Tahap celik kewangan yang rendah adalah membimbangkan, terutamanya memandangkan hutang isi rumah Malaysia yang tinggi.

Tambahnya, sehingga 2023, hutang isi rumah telah mencecah RM1.53 trilion, bersamaan 84.2 peratus daripada keluaran dalam negara kasar, antara nisbah tertinggi di rantau ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE