BUKIT MERTAJAM, 8 September - Seramai 5,498 murid sekolah rendah di Pulau Pinang masih berdepan masalah penguasaan asas membaca, menulis dan mengira (3M), menurut Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP).
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mohamad Abdul Hamid, menegaskan usaha serius perlu digembleng agar tiada murid tercicir daripada asas pendidikan.
Bagi tujuan itu, Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) dengan kerjasama JPNPP menganjurkan Sesi Libat Urus Pemerkasaan Literasi dan Numerasi peringkat negeri, hari ini.
Sejak 2019, YIPP melaksanakan Program Pulau Pinang Mengajar khusus untuk anak-anak keluarga B40 dan golongan rentan, terutamanya di kawasan Projek Perumahan Rakyat dan luar bandar. Program ini turut menerima dana zakat berjumlah RM340,000 daripada MAINPP bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Sehingga kini hampir 250 pelajar telah mendapat manfaat dengan bantuan lebih 80 sukarelawan terlatih.
Inisiatif tersebut dijangka memperkukuh penguasaan literasi dan numerasi murid sekolah rendah, sekali gus menyokong visi Penang2030 serta Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang (APAI 2030).