42 roktu tidak patuh undang-undang – JPJ Kelantan

Anggota JPJ Kelantan sedang melakukan pemeriksaan ke atas salah sebuah ‘roktu’ Thailand menerusi Ops Khas Tunggak dan Teknikal

TANAH MERAH, 24 Januari- Sebanyak 67 van Thailand atau roktu diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menerusi Ops Khas Tunggak dan Teknikal yang dilaksanakan dari 16 hingga 23 Januari lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • 42 roktu diambil tindakan atas pelbagai kesalahan trafik dan teknikal sepanjang operasi minggu itu.
  • 60 notis saman P22 dikeluarkan termasuk tiada lesen, insurans tamat tempoh dan pelanggaran jalan raya.
  • Kesalahan paling banyak pameran ICP tidak mengikut kehendak; juga cermin gelap dan pemasangan langsir dikesan.
  • Kerjasama dengan pihak Thailand diteruskan untuk mengesan kenderaan asing yang melanggar undang-undang jalan raya.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, daripada jumlah itu 42 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dan teknikal.

Menurutnya, sebanyak 60 notis saman P22 dikeluarkan melibatkan kesalahan seperti tiada lesen memandu, insurans tamat tempoh serta pelanggaran peraturan jalan raya.

“Kesalahan paling banyak direkodkan ialah mempamerkan Permit Edaran Antarabangsa (ICP) tidak mengikut kehendak dengan 23 notis saman dikeluarkan. Selain itu, kesalahan teknikal seperti cermin gelap, pemasangan tirai atau langsir turut dikesan,” katanya.

Beliau memaklumkan, keseluruhan operasi berkenaan merekodkan kutipan saman berjumlah RM6,750.

Dalam pada itu, JPJ Kelantan menjalinkan kerjasama erat dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan kenderaan asing yang gagal mematuhi undang-undang jalan raya di negara ini.

Mohd Misuari turut mendedahkan, dua kenderaan tanpa ICP dikesan cuba mengambil kesempatan dengan bergerak melebihi jarak dua kilometer dari pintu sempadan.

Mengulas statistik sepanjang tahun lalu, beliau berkata 277 notis saman P22 dikeluarkan melibatkan 182 saman pemandu dan 95 saman kenderaan, dengan jumlah kutipan mencecah RM99,100.

Katanya, kes tertinggi direkodkan ialah pameran ICP tidak mengikut kehendak dengan 139 notis saman dan kutipan melebihi RM54,000, diikuti 70 kes cermin gelap dengan kutipan RM21,250 serta 25 kes tiada ICP berjumlah RM12,000.

Menurut beliau, alasan paling kerap diberikan oleh pemandu ialah terlupa dan hanya ingin masuk sekejap.

Operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pemilik dan pemandu kenderaan asing mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya di negara ini.