fb fb fb fb fb

40 premis di Selangor kekurangan bekalan telur ayam

(Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey)

KAPAR, 21 Disember- Sebanyak 40 premis jualan barangan keperluan asas di Selangor didapati mengalami kekurangan bekalan telur ayam menerusi Ops Terjah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri itu, sejak 17 Dis hingga semalam.

Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey berkata ia dikesan hasil pemeriksaan ke atas 110 premis membabitkan pasar awam, pasar mini, kedai runcit, gerai penjaja kecil dan kedai makan di negeri itu.

Beliau berkata tiga premis turut dikesan mengalami kekurangan bekalan ayam, manakala 26 premis dikenal pasti kurang bekalan minyak masak paket bersubsidi dan hanya sebuah premis tidak mempunyai stok minyak tersebut.

"Kami mendapati bekalan telur ayam dan minyak masak paket bersubsidi kebanyakannya berkurangan di Petaling Jaya, bagaimanapun bekalan barangan keperluan asas lain seperti minyak masak botol dan tepung gandum stabil," katanya kepada pemberita selepas Ops Terjah di sebuah pasar raya, di sini hari ini.

Menurutnya fokus utama Ops Terjah adalah terhadap barangan tumpuan pengguna seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, barang basah (termasuk ayam dan telur ayam) serta barang untuk membuat kuih-muih

Beliau berkata KPDN Selangor juga menggunakan sistem mekanisme lampu isyarat bagi memantau bekalan barangan keperluan asas seperti ayam, telur ayam dan minyak masak.

“Sistem tersebut menggunakan kod warna hijau (bekalan cukup), kuning (kurang bekalan) dan merah (tiada bekalan) bagi memudahkan kami mengambil tindakan menyeluruh sekali gus memastikan bekalan keperluan tersebut tidak terjejas disebabkan faktor tertentu," katanya.- BERNAMA


(Pemeriksaan oleh anggota KPDN)

Media Baharu