(Datuk Nor Hisham Mohammad ditemu bual Berita RTM selepas Majlis Penutup Kursus Asas Hazmat
CBRNe Siri satu tahun 2022)
NILAI, 9 September -Seramai 40 peserta dari seluruh negara telah ditauliahkan sebagai Juruteknik Pasukan Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) setelah berjaya menamatkan kursus Asas HAZMAT dan CBRne siri satu tahun 2022.
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, ancaman bahan kimia, biologi dan radiasi merupakan ancaman yang tidak asing lagi di dunia.
Oleh itu, kursus ini dapat memperkukuhkan unit HAZMAT yang sedia ada di Malaysia dengan menambah keanggotaan unit itu.
Kursus yang berlangsung selama tiga minggu itu menerapkan kemahiran dalam mengendalikan komunikasi insiden HAZMAT, peralatan operasi, alat perlindungan (PPE), peralatan mengesan, menjalankan Pensampelan Dekontaminasi serta pengurusan insiden yang melibatkan Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear, Bahan letupan serta kebakaran (CBRNe).
(40 peserta ditauliahkan sebagai anggota Juruteknik Pasukan Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT)
setelah berjaya menamatkan kursus Asas HAZMAT dan CBRne siri satu tahun 2022)
"Hari ini kita tengok unit ini bukan memerlukan orang yang cekap pengetahuan sahaja tetapi gerak kerjanya memerlukan kekuatan fizikal kemudian dia memerlukan keupayaan menganalisis tindakan yang betul, sebab bahan kimia ini macam macam, pelbagai dan kebanyakan orang cakap kalau bocor itu adalah 'unknown substance' (bahan tidak diketahui), jadi apabila kita nak respon itu kita perlu mempunyai keupayaan untuk menganalisa dan juga menyusun tindakan, dalam pasukan cekap HAZMAT ini gerakannya ialah memerlukan agak ramai ahli ahli technicians (juruteknik)," kata beliau ketika ditemui pada Majlis Penutup Kursus Asas Hazmat CBRNe Siri satu tahun 2022, di sini hari ini.
Dalam pada itu, kursus yang majoriti dianggotai oleh peserta lelaki, membuatkan dua anggota wanita menjadi tumpuan dengan keberanian mereka menyertai pasukan HAZMAT.
"Ia bukan satu unit yang biasa-biasa lah kalau kita tengok lagi pun keanggotaan wanita tak ramai jadi kita cabar diri kita untuk masuk unit ini," kata peserta kursus, Norazizah Nordin
"Rasa bangga dapat menyertai pasukan HAZMAT ini seperti mana lelaki boleh buat saya yakin perempuan pun kita boleh buat," menurut Lim Hui Naa.