KUALA LUMPUR, 24 November - Sebanyak 60 buah sekolah di Kedah berada dalam kategori skala 7, iaitu sekolah yang mempunyai bangunan daif, setakat 30 September lalu.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh, daripada jumlah tersebut, 37 buah sekolah telah diluluskan untuk projek pembinaan semula bangunan daif dan kini berada pada peringkat pelaksanaan.
Manakala, sebuah sekolah sedang melalui proses pengambilan tanah, 12 buah sekolah telah diluluskan di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dan baki 10 sekolah lagi akan dikemukakan untuk pertimbangan dalam RP seterusnya.
"Bermula tahun 2016 sehingga November 2025, kerajaan telah meluluskan 87 projek pembangunan semula bangunan daif di sekolah di negeri Kedah dengan kos sebanyak RM671.81 juta. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 50 projek telah siap sepenuhnya, 16 projek di peringkat pembinaan dan 21 projek dalam peringkat prabina", katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman pada sesi persidangan Dewan Rakyat.
Bagi memastikan kesinambungan tindakan membaik pulih sekolah daif, kerajaan melalui RMK13, RP1 2026 turut meluluskan 12 projek baharu melibatkan kos RM175.50 juta.
