KUALA TERENGGANU, 4 Januari - 37 penempatan di Terengganu dijangka berdepan risiko banjir susulan fenomena air pasang besar, yang diramal berlaku hingga 8 Januari.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata, seramai 400 pegawai dan anggota bomba digerakkan bagi memantau secara berkala di kawasan berisiko.
"Dalam masa yang sama juga pasukan-pasukan Bomba dan juga penduduk kampung sentiasa membuat pemantauan 24 jam.
Mereka ini bergilir gilir untuk membuat rondaan bagi memastikan kalau ada sekiranya kenaikan air secara mendadak mereka sedia untuk bertindak mengosongkan kawasan berpindah di tempat yang selamat," katanya.
Penduduk juga turut diingatkan agar tidak berkunjung ke pantai atas faktor keselamatan.