ISKANDAR PUTERI, 12 Februari- Stesen radio Johor FM menganjurkan Program Menelusuri Sungai Paya Bakau di Kampung Sungai Melayu, hari ini, menjelang sambutan Hari Radio Sedunia pada esok.
Program dimeriahkan dengan penglibatan dari 34 stesen radio RTM seluruh negara, yang berkonvoi ke selatan tanah air.
Lebih 70 orang peserta terdiri daripada penyampai radio, pengarah jabatan dan kru-kru stesen radio RTM di setiap negeri, melibatkan diri dalam program yang bermula pada pukul 10.00 pagi tadi.
Pengarah Penyiaran Negeri Johor, Azman Hasim berkata pihaknya berbesar hati menerima kunjungan berkenaan sekali gus dapat mengeratkan lagi silaturrahim antara keluarga besar RTM.
"Ini merupakan satu pengalaman baru kepada rombongan dari RTM. Jelas terpancar, keceriaan dan keterujaan para penyampai kita dan juga para pengarah negeri. Ini merupakan satu pengalaman baharu," kata Azman kepada pemberita RTM.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Program Radio, Saifuzzaman Yusop berkata penganjuran kali ini turut menerapkan elemen informatif, selari dengan tema hari radio, 'Seabad Menyampai Maklumat, Menghibur dan Mendidik.'
"Lebih penting kita melihat keindahan alam, yang mungkin jarang orang dapat datang ke destinasi ini. Kemudian, kami datanglah ke sini iaitu di Kampung Sungai Melayu, kita dapat melihat keindahan alam dan pelbagai panorama yang berada di sini," kata Saifuzzaman kepada pemberita RTM.
"Alhamdulillah, sangat teruja sebab ini kali pertama saya diberi peluang untuk bersama-sama dengan pengarah stesen dan bayangkan ada 34 stesen kita berhimpun termasuk rakan-rakan penyampai radio dan warga radio bersempena sambutan Hari Radio Sedunia. Kami menelusuri Sungai Kampung Melayu, memang terbaik. Keindahan alam flora yang sangat cantik," jelas penyampai radio NegeriFM, Nen Tebabo.
"Mudah-mudahan dengan rombongan daripada RTM ini boleh mencapai hasrat kerajaan negeri dan eko pelancongan di Kampung Sungai Melayu ini boleh maju pada masa akan datang, setanding kawasan pelancongan yang lain di seluruh negara," kata ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.
Semua kakitangan RTM turut diberikan peluang menikmati panorama alam di sekitar kawasan paya bakau di Kampung Sungai Melayu, sambil diberikan pencerahan oleh pemandu bot dan lokaliti setempat.
Kesemua mereka menelusuri sepanjang perairan Sungai Danga dan Selat Tebrau di Johor Bahru, menaiki kira-kira 15 buah bot.
Pelbagai pengisian menarik dijalankan termasuk aktiviti menangkap ketam, melawat ladang kerang dan tempat menternak kupang.