fb fb fb fb fb

33 pondok tahfiz terbakar, tiada kemalangan jiwa dilaporkan

(Foto JBPM)

KUANTAN, 24 Julai- Sebanyak 33 buah pondok Tahfiz Madrasah Al-Imaniyah, Jalan Sungai Ular di Kuantan, Pahang, musnah dalam kebakaran pagi tadi.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berikutan semua pondok tidak mempunyai penghuni kerana mereka sedang bercuti.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, pihaknya menerima laporan itu kira-kira jam 9.39 pagi tadi dengan tiga jentera termasuk jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng dan Indera Mahkota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata struktur bangunan berasaskan kayu dan jarak berdekatan menyumbang kepada kebakaran untuk merebak dengan cepat.


(Sebahagian pondok tahfiz yang terbakar/ JBPM)

"Walaupun tempoh masa kita sampai dalam lebih kurang 10 minit atau kurang daripada 10 minit tetapi disebabkan bangunan ini daripada kayu, kayu mungkin yang telah lama dan sebagainya dan juga kedudukan struktur pondok pondok ini begitu rapat dan ada kita lihat bumbung bercantum juga merupakan faktor kebakaran merebak dengan lebih cepat", katanya.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 10.30 pagi. Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga turut berdepan kesukaran mengawal kebakaran kerana ketiadaan pili bomba dan terpaksa menggunakan air sungai sejauh 300 meter dari lokasi kebakaran.

Media Baharu