fb fb fb fb fb

32 banduan Penjara Reman Pulau Pinang dibebas awal sempena Hari Raya

Pengarah Penjara Pulau Pinang Abd Rauf Lang Pasih ketika ditemui pemberita

GEORGE TOWN, 24 Mac - Kira-kira 32 bantuan di Penjara Reman Pulau Pinang dibebaskan awal menerusi Program Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI, sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.

Pengarah Penjara Pulau Pinang Abd Rauf Lang Pasih, PBSL merupakan sebahagian daripada inisiatif pemulihan dalam komuniti, melibatkan banduan dengan hukuman antara enam bulan hingga tiga tahun.

"Ia merupakan sebahagian daripada program pemulihan dalam komuniti untuk memastikan reformasi Jabatan Penjara Malaysia ini akan terus diperkasakan bagi membolehkan prosedur prospek kita ini dapat mengikuti program dan seterusnya pulih untuk menjadi warganegara yang produktif pada masa akan datang," kata Abd Rauf.

Beliau berkata demikian selepas majlis Majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) Sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 di Penjara Pulau Pinang.

Program tersebut bukan sekadar memberi peluang kedua kepada banduan tetapi juga membolehkan mereka menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang.

Bagi banduan yang dibebaskan pastinya peluang ini adalah sinar kepada mereka bagi memulakan kehidupan baru bersama keluarga. Salah seorang bekas banduan yang hanya mahu dikenali sebagai Boy pembebasan ini adalah peluang kedua untuknya memperbaiki kehidupan.

Boy, 45 tahun, yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara setahun kerana mencuri kenderaan, merancang untuk mencari pekerjaan berhampiran rumahnya bagi menjaga isteri, ibu, dan anaknya yang sakit.

"Kalau ikutkan saya tak boleh keluar lagi. Ini sangat bermakna bagi saya untuk beraya bersama keluarga saya," katanya.

Sementara itu, seorang lagi banduan, Fendi, 60 tahun, yang telah terjebak dengan penyalahgunaan dadah selama hampir 40 tahun, bertekad untuk berubah demi ibunya yang kini berusia 77 tahun.

"Tahun ini saya dapat bebas saya kenangkan mak yang selalu melawat saya, Isya-Allah tahun ini umur saya dah 60 tahun, saya akan jaga ibu saya," katanya.

TETITIA YUSOFF