fb fb fb fb fb

318 individu ditahan, disyaki terlibat aktiviti tagih dan edar dadah di Johor

JOHOR BAHRU, 29 Jun- Polis Johor menahan 318 individu disyaki terlibat dalam aktiviti penagihan dan pengedaran dadah menerusi Ops Tapis Khas di seluruh negeri Johor, bermula satu pagi 21 Jun hingga 12 tengah malam, 23 Jun lalu.

226 liter air ketum dan lebih 19 kilogram dadah jenis heroin, syabu, ganja, pil erimin 5, pil yaba dan daun ketum dianggarkan bernilai lebih RM13,000, dirampas.

Jumlah dadah tersebut dipercayai boleh digunakan 3,814 penagih.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dalam kenyataan media berkata 299 lelaki dan 19 perempuan berumur 18 hingga 70 tahun melibatkan 47 kes bekalan, 65 kes memiliki dadah dan 206 penagih, ditahan.

Operasi turut menahan 52 orang dikehendaki dan 28 tokan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) (LLPK) 1985 dan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sejak awal tahun hingga kelmarin, polis Johor berjaya menahan 6,948 orang atas pelbagai kesalahan dadah serta merampas 2.16 tan dadah bernilai RM9.69 juta.


(Foto Ihsan PDRM Johor)

Media Baharu